Konspirasi.

KONSPIRASI SIAPA ‘KANTOIKAN’ DR ZULKIFLI AL-BAKRI

Kes Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri didapati positif ujian virus Covid-19 pada bulan Oktober yang lalu sememangnya menggemparkan. Ia menjadi gempar bukan disebabkan beliau adalah menteri yang pertama dihinggapi wabak Covid-19, tetapi tanda tanya yang timbul betulkah beliau benar-benar positif ujian tersebut? Kesemua kontek rapat Dr Zulkifli termasuk dua bayi yang ditahnikkan beliau antara 24 September hingga 4 Oktober didapati negatif. Dr Zulkifli juga ditahan sebagai pesakit Covid-19 hanya sembilan hari iaitu daripada 5 Oktober hingga 14 Oktober, dan selepas itu beliau pulih sepenuhnya.

Boleh jadi ada yang beranggapan Dr Zulkifli begitu cepat sembuh kerana kebaikan beliau membantu ramai orang dan ramai juga yang mendoakan beliau segera sembuh. Sememangnya telahan sedemikian tidak tersasar kerana Allah swt yang Maha Penyembuh boleh menganugerakan kesembuhan segera kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Bagaimanapun, tidak juga boleh diabaikan bahawa apa yang berlaku kepada Dr Zulkifli sebenarnya satu plot konspirasi untuk menganiayai beliau. Selepas beliau didapati positif beliau telah diserang segenap penjuru oleh pihak tertentu sehingga turut membabitkan menteri-menteri yang lain.

Bagaimanapun, sekiranya konspirator hanya bertujuan untuk membuka ruang serangan kepada Dr Zulkifli dan Kerajaan PN, ia adalah begitu remeh dan tidak berbaloi sehingga mereka sanggup mengambil risiko yang tinggi semata-mata untuk tujuan itu. Sudah pasti mereka mempunyai tujuan yang lebih besar untuk melakukan konspirasi tersebut. Apakah tujuan besar mereka sehingga sanggup menganiayai Dr Zulkifli yang sebenarnya bukan seorang ahli politik? Persoalan ini boleh disingkap jawapannya sekiranya kita melihat kronologi peristiwa ini daripada awal.

Dr Zulkifli telah kembali dari Sabah pada 24 September dan beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 selepas itu. Hasil daripada ujian tersebut adalah negatif, lalu beliau telah menjalankan tanggungjawabnya serata negara dengan bertemu pihak-pihak yang pelbagai. Pada 3 Oktober beliau telah menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Jabatan Perdana Menteri bersama Perdana Menteri, beberapa orang menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Saringan untuk masuk ke bilik mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri ini sebenarnya sangat ketat bagi memastikan mereka yang hadir benar-benar sihat.

Pada 4 Oktober beliau telah dihubungi oleh Hospital Seremban untuk menjalani saringan Covid-19 sekali lagi. Mengapa Hospital Seremban pula yang menghubunginya? Meskipun beliau tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, lazimnya seseorang menteri mengambil saringan ujian Covid-19 di Putrajaya. Sehari selepas itu, keputusan ujian Covid-19 beliau keluar dan beliau didapati positif. Akibatnya, keseluruhan mereka yang hadir dalam Mesyuarat MKN pada 3 Oktober dikehendaki menjalani saringan ujian termasuklah Perdana Menteri. Kesemua mereka negatif tetapi di kehendaki kuaratin kendiri selama 14 hari.

Dalam tempoh 14 hari tersebut, dari 4 Oktober sehingga 18 Oktober telah berlaku peristiwa besar di dalam negara, iaitu ada usaha untuk menumbangkan Kerajaan PN sedia ada. Pada 13 Oktober Dato Seri Anwar Ibrahim telah mengadap Yang Dipertuan Agong, mempersembahkan surat sokongan PKR, DAP, PAN dan UMNO menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri ke-9. Sebelum Anwar bertemu Yang Dipertuan Agong, sudah tentu beliau ada pertemuan dengan Presiden UMNO dan parti komponen PH yang lain. Surat yang ditandatangani oleh Presiden UMNO dan Penasihat BN adalah bertarikh 11 Oktober.

Kesemua kronologi peristiwa besar ini berlaku ketika Perdana Menteri, menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan termasuk IGP sedang dikuanrantin. Selepas Anwar mengadap Yang Dipertuan Agong, pimpinan DAP dijadualkan mengadap Yang Dipertuan Agong pada 14 Oktober dan pimpinan UMNO pula dijadualkan mengadap pada 15 Oktober. Hanya Presiden PAN yang lewat sedikit mengadap pada 21 Oktober. Apakah yang boleh dilakukan oleh pimpinan-pimpinan Kerajaan PN untuk bertindak balas ketika mereka sedang dikuarantin, dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga dalam situasi yang sama?

Perkara ini tidak mungkin hanya satu kebetulan, justeru siasatan mendalam perlu dilakukan kepada pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan yang berkemungkinan terbabit untuk menganiaya Dr Zulkifli. Kewujudan pegawai-pegawai yang bersubahat dengan PH di dalam Kementerian Kesihatan sememangnya tidak boleh ditolak. Sebelum ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sewaktu pulang dari Turki tidak dikeluarkan waran untuk kuarantin oleh Kementerian Kesihatan, dan apabila beliau tidak kuarantin kerana tiada waran, tiba-tiba maklumat itu bocor kepada Teresa Kok.

Sebelum ini pun, beberapa maklumat sulit daripada Kementerian Kesihatan dibocorkan. Tidakkah ini menguatkan lagi naluri kita, ada suatu Konspirasi besar untuk menumbangkan Kerajaan PN?

Dr Ismadi Abd Samad

Leave a Comment